Sunday, February 26, 2012

♥♥Kasihnya seorang ayah♥♥


Sewaktu dilahirkan, ayah melaungkan azan ke telinga untuk meniupkan pesanan tentang keagunganNya dalam diri. Agar lahirnya diri di dunia ini dengan kebesaran Allah dan biarlah saat menghadap Illahi nanti dengan kebesaranNya jua. Azan yang dilaungkan oleh seorang ayah adalah tanda cintanya kepada nikmatNya kerna telah mengurniakan cahaya mata yang terindah dalam hidupnya. Ayah tak akan pernah berhenti memuji kebesaranNya kerna rasa syukurNya buat Sang Pencipta yang telah meniupkan roh dalam tubuh agar  suatu hari nanti kita menjadi insan yang berguna. Pernahkah anda terfikir mampukah kita menjadi insan yang berguna seperti yang diharapkan oleh seorang ayah?


Ayah adalah insan yang banyak berkorban untuk keluarga. Perjuangannya yang gentar di saat dirinya tersungkur beribu kali. Perjuangannya yang suci demi mencari sesuap nasi untuk keluarganya. Perjuangannya yang tak pernah mengenal erti jemu supaya anak-anaknya selesa dengan kehidupan yang dijalani bersama. Pernahkah anda terfikir rasa sakit, lelah, penatnya dirinya memikul beban ini? Pernahkah anda berkongsi bahu dengan ayah anda untuk meringankan bebannya tanpa mengharapkan balasan? 


Tika diri masih kecil, ayah sering memarahi dan menegur kita. Sesungguhnya teguran nya itu demi kebaikan kita sendiri, demi keuntungan kita suatu hari nanti. Mengapa harus melawan apabila dimarah atau ditegurnya? Mengapa menguris hatinya? Bagi ayah, marahnya itu bukan bermaksud benci tapi dia amat menyayangi diri kita. Dirinya tak mahu melihat kita menjadi insan yang tak berguna, menjadi sampah masyarakat pabila dewasa kelak.


 Aku masih teringat akan kata-kata yang pernah diungkapkan oleh babah "Belajarlah rajin-rajin supaya tidak mengikut dirinya yang kerja 7pagi-7malam dan hujung minggu pun bekerja". Aku tahu babah tak mahu anak-anaknya turut merasa kepenatan dan kelelahan yang ditanggungnya selama ini. Baginya, cukuplah dirinya sahaja yang menanggung semuanya. Biarlah anaknya suatu hari nanti mendapat kehidupan yang lebih baik dari apa yang telah dia berikan. Di situlah, semangat yang harus aku serap ke dalam diri sehingga hari ini. Di situ jua lah perjuanganku bermula untuk merealisasikan kata-katanya.


 Babahlah insan yang banyak mengajar aku erti kekuatan dan ketabahan dalam hidup. Di saat aku menangis dan bersedih di atas kegagalan yang harus ku terima, dirinya tak pernah lekang dari memberi kata motivasi buat ku. Dirinya tak pernah memarahi di atas kegagalanku. Namun, dirinya sentiasa menghulurkan secebis semangat agar diri tak pernah mengenal erti putus asa. Masih ku ingat tika aku jatuh rebah di atas kegagalanku, dirinya tak pernah berhenti mengutuskan doa dan harapan agar aku mampu bangkit semula dan tawan kembali kegagalan tersebut.


Setiap bait kata-katanya sentiasa ku semat dalam ingatan. Kerna di sebalik kata-kata itu tersingkap satu kekuatan yang harus ku teruskan demi cintanya untuk melihat anak-anaknya menjulang kejayaan. Di sebalik kata-kata itu jualah aku membina satu keyakinan bahawa bukanlah sesuatu yang mustahil untuk mengenggam kejayaan tapi ianya satu kepastian yang harus ku buktikan.

 Akhirnya ku teruskan jua perjalanan menyusur landasan cita-citaku. Berbekalkan doa dan keazaman, aku percaya yang aku mampu hadapi apa jua pancaroba yang bakal melanda. Aku yakin, kerna hadirnya kekuatan darinya yang sentiasa menemaniku. Kecekalan dan  ketabahan yang ada dalam dirinya menjadi inspirasiku untuk terus gigih berusaha.  Biarlah kepulanganku nanti disambut dengan tangisan kegembiraan dan dihiasi dengan senyuman kesyukuran yang terukir di bibirnya.


Aku tahu babah, kau turut menangis saat kau kucup dahiku melepaskan pemergian agar diri pulang dengan kejayaan. Aku tahu saat kau peluk tubuhku, sebenarnya kau tak rela berpisah denganku. Namun, kau kuatkan diri, kau tabahkan hati, kau sembunyikan tangisan di dalam hati demi membuktikan kau kuat hadapi perpisahan ini. Aku tahu jika dirimu menangis, tiada siapa yang akan dapat memujuk mama. Aku insan lemah yang sentiasa mengalirkan airmata saat kita berpisah, aku tak kuat sepertimu. Tapi, akan ku buktikan aku hanyalah lemah dalam perpisahan bukanlah insan lemah dalam mengejar cita-citaku. Percayalah padaku, babah.


Babah, walau kau jarang bersuara ketika aku menghubungimu tapi jauh di sudut hati kau pendam kerinduan itu. Kau gagahi hatimu, agar terus tabah dengan perpisahan ini demi anakmu menjadi insan yang berguna. Namun, aku turut rasai jua kerinduan itu. Saat dirimu bertanyakan perihalku kepada mama. Walau kau tak sekerap mama menghubungiku, aku yakin dirimu jua turut merasa bimbang tapi semuanya indah disembunyikanmu. Usahlah kau khuatir duhai babah, aku masih ingat semua pesanan mu. Kemana jua kaki ku melangkah, namamu, semangatmu, nasihatmu, doamu sentiasa mengiringi perjalananku mendaki kejayaan.
Hargailah insan yang melahirkan dan banyak berkorban demi kita. Janganlah sesekali mengingkari kata-kata mereka. Sesungguhnya kasih merekalah yang akan membawa kita ke syurga...D.z..^_^


No comments:

Post a Comment